Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada sesiapa sahaja yang secara sengaja atau tidak, datang ke blog aku ni. Sekali lagi, tajuk entri kali ini sangat tak menarik dan popular. Makanya, kebarangkalian pembaca yang membaca entri ini sangat rendah. Walaubagaimanapun, blog ini hanyalah luahan hati aku, kerana aku rasa ini sahaja tempatnya untuk aku luahkan segala rasa dalam hati aku. Sebelum aku memulakan entri kali ini, aku nak wish adik aku dan semua yang menduduki peperiksaan SPM esok supaya buat elok-elok, dan rilek je. Kalau dah study tak ada apa-apa yang nak dibimbangkan. So, apa kisahnya tentang gambar di atas tu?
Hujung minggu ini berlangsungnya majlis konvokesyen UTHM (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia)kali ke-12. Untuk pengetahuan semua, UTHM adalah Universiti aku sebelum ini. Atas kesilapan aku sendiri, aku mengaku kalah. Bekas rakan-rakan sekuliah aku selamat menggenggam segulung ijazah sarjana muda yang juga dapat aku genggam pada hujung minggu ini kalau aku tak give up. Seronoknya bukan kepalanglah apabila melihat gambar-gambar mereka puas bersama ibu bapa yang tersenyum bangga dengan anak mereka. Aku? Aku masih ingat lagi bapaku yang berbulan-bulan tak berbicara dengan aku setelah mendapat tahu aku berhenti. Ibuku pula asyik menahan air matanya melihat anaknya yang terbaik tewas dengan tekanan takdir.Memang diakui, dan bukanlah niat aku untuk riak(mohon dijauhkan), dalam adik beradik aku, akulah yang paling hebat dari segi akademiknya. Aku paling cepat membaca, UPSR aku semua A, PMR aku 7A 1B, dan SPM aku 6A1,3B3,1B4. Rekod aku yang masih boleh dipecahkan oleh adik aku hanyalah SPM sahaja yang akan dia ambil mulai esok. Aku tak kisah pun kalau dia berjaya memecahkan rekod aku, sebab dia setakat ni tiada masalah, cuma biasa-biasa sahaja. Apa yang aku ingin sampaikan adalah momentum aku bolehlah dianggap baik. Namun, tragedi hitam aku bermuladi babak seterusnya, apabila aku menerima tawaran Kolej Matrikulasi Kedah, di Changlun.
Ada dua program di Matrik, setahun dan dua tahun. Aku mendapat tawaran untuk program setahun. Selepas setahun, aku boleh terus mendapat short cut untuk ke sarjana muda. Aku rasa teruja. Namun, aku tak mampu untuk mengikut arus deras pembelajarannya. Lalu aku berserah, aku sering tak pergi ke kelas, tak menyiapkan kerja dan sebagainya. Lalu aku kecundang dengan pointer aku di semester ke-2. Aku teruk kerana aku gagal dalam subjek kimia. Aku masih dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, tetapi bukanlah aku yang membuat pilihan.
Aku mendapat tawaran untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda dalam Teknologi Maklumat dan Multimedia. Aku langsung tak memilih kursus itu, namun apa yang ada di depan mata, aku sauk saja. Mulanya macam biasa, aku tak terlalu teruk dan tak terlalu cemerlang. Namun, aku tak pernah tahu pointer aku semasa di UTHM. Aku tak tahu kenapa, tapi aku tak pernah pula kena repeat. So, aku assume everything is fine. Sampai ke tahun akhir pengajian aku di sana, aku dan semua mahasiswa perlu menyiapkan projek akhir untuk menamatkan pengajian. Aku baru hendak berusia 22 tahun rasanya. Aku perlu membuat sistem Point of Sales di mana sistem ini biasanya digunakan di kedai runcit dan tempat membeli-belah. Ia akan merekod inventori keluar dan masuk tiap-tiap kali transaksi berlaku. Aku buntu. Aku langsung tak tahu apa yang harus aku lakukan. Maka aku tewas dan aku lari dari pengajianku. Ibu dan bapaku hanya mengetahui perkara ini apabila mentor aku di UTHM menelefon rumah bertanyakan keadaan aku. Betapa remuk dan kecewanya ibu bapaku yang mengharap anaknya yang mempunyai rekod baik dalam akademik tewas dalam bidang akademik. Aku sendiri sedih melihat keadaan kedua ibu bapaku ketika itu.
Aku tetap mengisi permohonan-permohonan untuk masuk ke Universiti, tetapi tetap gagal. Mungkin nama aku telah disenarai hitam untuk masuk ke IPTA setelah apa yang aku lakukan di UTHM dahulu. Akhirnya, kakak aku yang telah menamatkan kursus ijazah(Master)nya, mencadangkan supaya aku memohon ke KPTM, tempat dia belajar suatu masa dahulu. Tetapi dia belajar di KPTM Kuantan, aku mendapat tawaran di KPTM Bangi sahaja. Aku bersumpah, aku tak akan sekali-kali menyerah kalah dan membiarkan ibu bapaku kecewa lagi. Biarlah air mata mereka, air mata kesyukuran kerana kejayaan aku mengharumkan nama mereka(klise kan ayat aku?). Tugas aku kali ini, untuk mengembalikan reputasi aku yang dah tercalar suatu masa dahulu. Bapa aku tadi ada mengatakan, level diploma di KPTM agak rendah berbanding diploma di IPTA yang lain. Aku bersetuju, dan aku akan mendaki semula biar masa harus ku korbankan, biar jodoh ku tangguhkan. Alhamdulillah, test akaun dan business math aku semuanya full mark. Namun, sentiasa aku tanamkan motivasi yang masih sangat ramai lagi yang jauh lebih hebat daripada aku. Dan aku akan tetap mengejar mereka selagi kudrat aku masih tersisa.
Kini, saudara mara aku kebanyakannya memandang aku ini tidak berguna, dan tidak pernah mencuba memberikan aku tanggungjawab yang berat. Aku terasa, tapi aku tak salahkan mereka. Mereka betul. Bagaimana kalau aku buat masalah? bukankah merugikan mereka? Jadi itulah motivasi aku untuk berjaya. Supaya aku dapat membersihkan kembali reputasi aku dan kekal di situ. Begitu juga dengan korang, setiap matlamat perlukan motivasi. Sebab percayalah, akan ada gangguan dan rintangan yang akan melengahkan kita untuk mencapai matlamat. Jadikan kisah Nabi Ibrahim dan Ismail A.S sebagai panduan. Bagaimana Ismail berjaya "menghalau" godaan Iblis supaya mengelakkan diri dari disembelih. Kalau nak baca kisah tu, klik sini. Aku dapat lihat, pelbagai jenis godaan yang ada supaya kita dapat lari dari fokus kita yang sebenar. Dalam kes aku, belajarlah. Antaranya, awek, hiburan, nak seronok dan sebagainya. Aku faham, aku pernah juga berumur 18 tahun. Aku cuma harap mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama pernah aku lakukan. Aku bukanlah ustaz, aku tak layak nak berijtihad dalam budaya couple dan sebagainya. Cuma biarlah kita tak buta kerana gangguan-gangguan ini. Janganlah cinta, hiburan dan keseronokan ini mengaburi tujuan utama kita. Panjang kan aku tulis? Masak la korang nak baca.
Akhir sekali, sekali lagi aku ucap tahniah kepada bekas-bekas housemate dan classmate aku masa kat UTHM dulu. Hebat mereka sekarang ni, dah berkerjaya. Aku still contact dan kamcing dengan diorang lagi. Dekat je pun rumah diorang, kat Sentul je. Semoga penulisan aku ini dapat memberi kesedaran kepada sesiapa yang membacanya. Sekian, wassalam.
K-tea.
0 comments:
Post a Comment